Wednesday 23 February 2011

0143 Sikap Umat Islam yang Sepatutnya

Umat Islam adalah umat yang paling pandai, berilmu tinggi, berfikiran matang, berfikiran jauh, berpandangan luas, berfikiran terbuka, tidak emosional, tidak terburu-buru, mudah dibawa berunding, akhlak yang terpuji, punya pendirian yang tetap, sikapnya lembut tidak mudah ditarik tegap tidak mudah digoyang, keyakinannya cukup tinggi dan ilmunya tidak boleh dijual beli. Mereka mempunyai al-Quran dan hadis untuk dipegang dan diikuti, mereka mempunyai Allah taala untuk ditaati, dicintai dan ditakuti, dan mempunyai Nabi Muhammad SAW untuk dipatuhi dan disayangi. Al-Quran sendiri menyuruh setiap umat Islam agar berlaku adil dalam semua perkara, banyak berfikir dan berakhlak mulia.

Mengenai masalah Imam Mahdi ini, sepatutnya setiap umat Islam, tanpa mengira mazhab dan pegangan, sama-sama mempunyai pendirian yang jelas, jitu dan alasan yang kukuh. Jangan terikut-ikut dengan sesuatu yang dirasakan sesuai dengan citarasa dan selera kita sahaja. Islam adalah agama yang sesuai untuk semua, bukan untuk kita seorang atau berdua sahaja. Setiap pendirian kita dalam sesuatu masalah sepatutnya berlandaskan ilmu yang hakiki, sesuai pula dengan suasana zaman yang kita hidup di dalamnya, sesuai pula dengan tahap ilmu dan pemikiran kita sendiri, sesuai dengan budaya masyarakat yang kita amalkan dan sesuai dengan pemimpin sejati pada zaman kita itu.

Sayangnya, umat Islam pada hari ini berpecah-pecah dan berbeza-beza pendapat dalam masalah khilafiah Imam Mahdi ini sejak sekian lama, akibat masing-masing tidak mahu mendengar hujah dan pendapat lawan, tidak mahu tunduk pada kebenaran, tidak mahu memikirkan hujah lawan dan sentiasa merasakan pendapatnyalah yang amat benar lagi betul. Hati umat Islam sudah terlalu jauh daripada Tuhannya, sehingga masing-masing sudah tidak merasakan yang mereka diperhatikan oleh Allah taala. Akibatnya, masalah yang asalnya cuma suku jengkal panjangnya, kini sudah menjadi lebih sedepa panjangnya. Malah akan terus-menerus menjadi beberapa depa lagi pada masa akan datang. Tiada jalan penyelesaian yang dapat dicari. Hanya hidayah Allah SWT sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari terus-menerus berada dalam kegelapan perpecahan mengenai masalah ini.

No comments:

Post a Comment