Wednesday 23 February 2011

0140 Alasan 6 - Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, dan kaitannya dengan hadis-hadis tentang Imam Mahdi

Alasan inilah yang dianggapnya paling kukuh kerana memang di dalam kedua-dua buah kitab hadis sahih itu, tiada sebuah pun hadis yang diriwayatkan yang menyebutkan nama Imam Mahdi. Secara mudah pula beliau menyatakan bahawa tiada sebuah pun hadis mengenai Imam Mahdi yang mencapai taraf sahih.

Adalah mustahak diketahui bahawa hadis-hadis yang menyebut nama Imam Mahdi tidak ada diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, tetapi ini tidaklah bermakna bahawa para rawi itu lemah hafazannya. Perlu diakui, kedua-dua mereka tidak meriwayatkan semua hadis yang meliputi seluruh tingkatan hadis. Jika kita benar-benar mendalami hadis-hadis mereka, kita akan dapati bahawa mereka sebenarnya ada meriwayatkan hadis mengenai Imam Mahdi, cuma tidak disebutkan nama al-Mahdi di dalamnya. Itu sahaja.

Menurut Imam al-Baihaqi, Imam al-Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkan seluruh hadis. Contohnya, sebahagian hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari tidak terdapat di dalam Sahih Muslim dan begitu juga dengan Imam Muslim. Dalam masa yang sama, terdapat hadis-hadis di dalam Sahih Muslim yang ditolak oleh Imam al-Bukhari sendiri. Ini tidaklah menghairankan kerana Imam al-Bukhari itu jauh lebih kanan daripada Imam Muslim, sekali gus menjadi guru kepada Imam Muslim walaupun sebenarnya Imam al-Bukhari menganggap beliau hanyalah kawan karib sahaja.

Imam al-Bukhari menyatakan bahawa beliau hanya memasukkan hadis yang sahih sahaja ke dalam kitab hadisnya. Begitu juga seperti yang Imam Muslim lakukan iaitu meriwayatkan hanya hadis-hadis sahih di dalam kitabnya. Imam Abu Daud juga berbuat demikian. Fakta ini telah diteliti oleh Abu Bakar bin Dasa, yang mendengar Imam Abu Daud berkata:

“Aku telah mencatatkan 4,800 buah hadis ke dalam kitabku yang semuanya sama ada sahih atau hasan sahih.”

Perkataan yang sama turut diriwayatkan oleh Abus Sabbagh, dengan kata-kata yang hampir sama dan menambah bahawa hadis-hadis dhaif telah dijelaskan di bawahnya oleh Imam Abu Daud.

No comments:

Post a Comment