Wednesday 23 February 2011

0132 Mazhab Syiah Ada Beberapa Orang Imam Mahdi

Sudah terkenal pula di kalangan Syiah, selain Imamul Ghaib Muhammad bin al-Hasan al-Askari yang disebut sebagai Imam Mahdi, ada beberapa orang lagi yang diyakini oleh pengikut Syiah daripada firkah lain sebagai bakal Imam Mahdi dan akan muncul semula ke dunia ini. Persamaan kepercayaan di antara pelbagai firkah ini ialah bahawa semua Imam Mahdi mereka itu adalah Imam yang ghaib. Perbezaannya pula adalah dari segi nama wataknya, cara mereka ghaib dan tempat mereka ghaib.

Dalam huraian di sini, penulis ingin menyentuh mengenai keyakinan puak Kaisaniah, iaitu salah satu puak Syiah yang paling awal munculnya di dalam dunia Islam. Pengasas firkah ini adalah Kaisan, iaitu seorang khadam kepada Muhammad bin Ali bin Abi Talib. Muhammad bin Ali adalah salah seorang anak Sayidina Ali KMW dengan isterinya yang bernama Haulah dari Bani Hanifah, yang dikahwininya setelah Sayidatina Fatimah az-Zahra meninggal dunia. Kerana itu beliau dipanggil Muhammad bin Ali al-Hanafiah, mengambil sempena nama kabilah ibunya itu.

Kaisan itu asalnya khadam kepada Sayidina Ali KMW. Setelah Sayidina Ali KMW meninggal dunia, beliau menjadi khadam pula kepada anak Sayidina Ali KMW, Muhammad bin Ali, yang lebih dikenali dengan gelaran Muhammad al-Hanafiah. Beliau seorang yang taat setia kepada Sayidina al-Husain dan al-Hasan RA. Apabila kedua-duanya meninggal dunia, Kaisan dan pengikut-pengikut setianya memperjuangkan pula hak keturunan Sayidina Ali KMW sebagai khalifah umat Islam. Dan orang yang diperjuangkan haknya ketika itu adalah Muhammad bin Ali.

Pada mulanya, mereka hanya menuntut hak terhadap jawatan khalifah itu sahaja. Namun, oleh pertambahan pengikut, yang kebanyakannya tidak begitu arif perjuangan sebenar telah beransur-ansur menukar corak. Jika mulanya hanyalah menuntut jawatan khalifah itu sahaja, akhirnya merebak lalu bertukar corak menjadi sebahagian daripada kepercayaan asas dalam mazhab mereka. Seterusnya dikembangkan lagi menjadi kepercayaan bahawa beliaulah yang bakal menjadi Imam Mahdi yang disebut-sebut itu.

Muhammad bin Ali sendiri menyedari akan hal ini, tetapi sudah agak terlambat untuk berbuat apa-apa kerana jumlah para pengikut yang ada sudah cukup ramai dan kesukaran untuk bertemu secara terbuka dengan mereka. Pergerakan beliau juga amatlah terhad akibat kekangan daripada pemerintah pada masa itu. Memang pemerintah ketika itu amat khuatirkan pengaruh keturunan Sayidina Ali KMW di kalangan rakyat. Maka mereka berusaha sedaya mungkin menutup pengaruh tersebut daripada tersebar di kalangan rakyat.

Apabila pengaruh tersebut gagal ditutup dan dikawal, mereka cuba menangkap dan membunuhnya pula. Maka ada andaian daripada banyak pihak bahawa Muhammad bin Ali ini melarikan diri daripada diburu oleh pihak pemerintah. Beliau dikatakan bersembunyi di daerah Radhwa, di kawasan pergunungannya, tidak jauh dari kota Madinah, di Jazirah Arab. Semasa di sana, beliau gagal dikesan lagi oleh pihak pemerintah. Di sanalah beliau dikatakan bersembunyi. Segolongan daripada pengikut Kaisan percaya bahawa Muhammad bin Ali ini tidak mati lagi, masih hidup dan akan keluar sebagai Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Tetapi segolongan yang lain daripada mereka percaya bahawa Muhammad bin Ali sudah mati, cuma makamnya sahaja yang gagal dikesan.

Bagi yang percaya kemunculannya nanti, mereka mendakwa bahawa Muhammad bin Ali Hanafiah itu masih hidup lagi, tetapi telah ghaib, kini tinggal di pergunungan Radhwa itu, sambil diapit oleh dua ekor singa yang besar. Apabila tiba masanya kelak, beliau akan muncul sebagai Imam Mahdi lalu memulihkan keadilan di dunia dan mengembalikan kekuasaan ke tangan keluarga Rasulullah SAW.

Begitu terkenal sekali peribadi yang bernama Muhammad Ali Hanafiah ini di seluruh dunia Islam sehingga kesan daripada itu, lahirlah sebuah epik yang bernama Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, yang menceritakan kisah hidup beliau dari mula hingga akhir. Buku cerita itu terdapat dalam versi Arab dan versi Parsi. Setelah itu diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia. Sayangnya, banyak cerita di dalamnya adalah tambahan-tambahan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana tidak disandarkan kepada bukti-bukti sejarah. Penceritaan yang keterlaluan menyebabkan kita sangsi akan kebenarannya.

Kisah ini juga amat terkenal di kalangan orang-orang Melayu, melalui kisah epik tadi. Begitu terkenalnya beliau sehingga ramailah orang Melayu yang menamakan anak mereka dengan nama Muhammad Hanafiah atau Ali Hanafiah atau Muhammad Ali Hanafiah, sebagai mengambil berkat. Sehingga hari ini pun masih ramai orang Melayu yang menamakan anaknya dengan nama itu. Dan yang pasti, tidak ada unsur-unsur Syiah semasa menamakan anak mereka itu, hanya semata-mata mahu mengambil berkat. Tidak lebih daripada itu.

Begitu terkenalnya juga kisah beliau, termasuk di kalangan bangsa Melayu ini, sehingga sewaktu menentang tentera Feringgi dahulu, tentera-tentera Kesultanan Melayu Melaka menjadikan pembacaan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah sebagai cara menaikkan semangat juang. Namun, walaupun telah membaca kisah kepahlawanan Muhammad Ali Hanafiah pada malam harinya, dan semangat juangnya telah begitu tinggi, tentera Kesultanan Melayu Melaka itu tetap kalah juga apabila berhadapan dengan peralatan perang Feringgi yang jauh lebih moden dan lengkap.

Keris, lembing dan tombak tetap tidak mampu melawan kekuatan senapang dan meriam kepunyaan Feringgi itu, sekalipun semangat melawan mereka cukup tinggi. Bilangan askar Melaka yang jauh lebih ramai juga tidak dapat membantu mereka mengalahkan Feringgi yang kecil sahaja bilangannya kerana mereka sedang berpecah belah. Kekalahan tentera Melaka itu sebenarnya adalah kerana mereka tiada kekuatan rohani yang membolehkan bantuan daripada Allah didatangkan terus kepada mereka, dan ketiadaan Orang Allah di dalam negeri dan angkatan itu. Faktor terpenting inilah yang terselindung dan tidak tercium oleh sejarawan Malaysia hingga kini. Namun, satu perkara yang pasti ialah kisah kepahlawanan Muhammad Ali Hanafiah dan buku hikayatnya yang tebal itu tetap hidup dan terkenal hingga ke hari ini, menjadi satu-satunya yang masih tidak terkalahkan oleh mana-mana penjajah pun.

No comments:

Post a Comment