Wednesday 23 February 2011

0120 Kisah Kedua - Cerita Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi

Yang dimaksudkan di sini ialah pribadi yang disebutkan dalam Manaqib yang terkenal di Asia Tenggara ini yaitu Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi Rahimahullahu Taala Anhu, seorang lelaki berketurunan Sayid yang lahir di Sudagaran, Wonosobo, Pulau Jawa, pada tahun 1259H. Terkenal di kalangan anak muridnya dengan panggilan Kiyai Agung atau Embah Agung.

Berdasarkan keturunannya, beliau adalah keturunan Ahlulbait, dari sebelah keturunan Sayidina Husain bin Sayidina Ali RA. Namanya adalah Muhammad bin Abdullah bin Umar bin Abdul Rahim bin Abdul Karim bin Muhyiddin bin Nuruddin bin Abdul Razak al-Madani bin Hasan bin Abu Bakar asy-Syaibani. Dikenali dengan panggilan Abu Abdillah, sama seperti yang disebutkan di dalam hadis-hadis dan sama dengan panggilan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Datang dari keturunan Bani Basyiban, yang berasal dari Hadramaut. Datuk neneknya berpindah ke Tanah Jawa, bertempat di Kota Bondowasa, daerah Basuki, Jawa Timur. Menurut Muhammad Amin bin Fadhlullah Al-Mubhi dalam kitabnya Khulasatul Asar Fi A’ayan al-Qarnil Hadi Asyar, bahwa sebagian Bani Basyiban telah meninggalkan Hadramaut dan Makkah sejak kurun kesepuluh Hijrah lagi, kebanyakannya ke India. Hal seperti ini turut disebutkan oleh Sayid Muhammad al-Idrus dalam kitabnya, Aidhahu Asrar ‘Ulumul Muqarrabin.

Menurut Majalah Ar-Rabithah yang diterbitkan di Jakarta, Indonesia pada tahun 1347 Hijrah (1929M), Bilangan 8 - 9, disebutkan bahwa Bani Basyiban itu adalah dari keturunan Sayidul Faqih Muqaddim Muhammad Baklawi. Dan menurut ulama yang mengetahui, Bani Basyiban sudah tiada lagi pada masa itu di Hadramaut.

Jelaslah bahwa beliau adalah orang yang mulia, dari keturunan yang mulia-mulia dan beragama yang tinggi. Memang, orang yang bakal menjadi Imam Mahdi mestilah datang dari keturunan yang baik-baik dan mulia, tinggi-tinggi penghayatan Islamnya, sangat menjaga hal ehwal agama dan sangat berakhlak mulia.

Beliau pernah menuntut di Mesir dan Makkah sebelum pulang ke Nusantara. Beliau sempat menerima ajaran kerohanian daripada Sayidina Khidir AS dan mengalami beberapa kejadian ajaib di sana. Beliau dituruti oleh isterinya di Makkah semasa pengajiannya itu.

Sebelum mendapat aurad yang sekarang diamalkannya, dikatakan sebelum itu beliau pernah berasa keberatan serta tidak cukup masa untuk mengamalkannya dengan sempurna. Lalu beliau pun berdoa kepada Allah agar ditunjukkan cara untuk meringkaskan seluruh amalannya itu atau apa cara pun untuk mengatasinya.

Tidak lama kemudian, beliau pun mendapat alamat menyuruhnya masuk ke dalam Kaabah selepas tengah malam pada suatu malam tertentu. Apabila masuk ke dalam Kaabah, beliau mendapati beliau telah bertemu dengan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, bukan mimpi, dan baginda SAW telah mengajarkannya bacaan aurad yang pada hari ini lebih dikenali dengan nama Aurad Muhammadiah. Maka jadilah aurad itu sebagai induk bagi seluruh amalannya yang banyak itu, dan diizin untuk diturunkan kepada sesiapa muridnya yang mau mengamalkannya.

Setelah pulang ke Nusantara, beliau memilih Singapura dan Kelang sebagai tempat tinggalnya. Di dua tempat inilah beliau mengembangkan ajaran Islam kepada seluruh penduduk setempat. Selain itu, dinyatakan juga beberapa kejadian pelik yang berlaku ke atas dirinya, yaitu karamahnya. Ada yang besar, dan ada yang kecil, yaitu sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang yang benar-benar bertaraf wali Allah.

Setelah beberapa lama, pada suatu hari, beliau memanggil sebagian ahli keluarganya dan beberapa orang murid kanannya untuk berunding. Menurutnya, sudah sampai masa untuknya ghaib daripada mereka, bukan mati, karena beliau akan kembali lagi. Disebutkannya juga sebab beliau ghaib itu, ke mana ghaibnya dan siapa yang beliau akan jadi. Sesiapa yang panjang umur, insya-Allah akan bertemu dengannya lagi.

Setelah itu beliau berunding dengan mereka cara untuk menutup kehilangannya yang sementara itu. Kata putus diambil setelah perundingan itu yaitu meninggalkan sesuatu yang nampaknya seperti jasad untuk menggantikan dirinya yang sebenar. Tujuannya untuk mengelakkan buruk sangka dan tuduhan dari orang ramai pada masa itu yang tidak tahu-menahu akan hujung pangkal kisahnya itu.

Setelah selesai perundingan itu, maka Syeikh as-Suhaimi pun meninggallah di Kelang pada 1925M (1343 Hijrah) dalam usia 82 tahun, dikebumikan di sana, dan makamnya masih tetap terpelihara hingga ke hari ini di Kelang. Menurut anak-anak Syeikh as-Suhaimi, bapanya masih lagi hidup dan selalu ditemui, sama ada didatangi atau diziarahinya dari semasa ke semasa, di Kelang atau Singapura. Cuma akhir-akhir ini, beliau jarang-jarang datang karena urusannya semakin bertambah karena masa untuknya kembali lagi ke dunia nyata ini sudah semakin hampir.

Antara anaknya yang terkenal soleh dan alimnya, ramai anak muridnya dan paling menonjol ialah Al-Allamah Al-Marbiyal Khobir, dan Khatibul Qadir dan Da’ie Al-Basyir Ilallah, As-Syeikh Sayid Muhammad Fadhlullah ibnu As-Syeikh Sayid Muhammad as-Suhaimi, yang terkenal dengan sebutan Fadhlullah Suhaimi al-Azhari. Lahir di Singapura dan meninggal dunia juga di Singapura, pada tahun 1964 (1384H), berusia 78 tahun.

No comments:

Post a Comment