Wednesday 23 February 2011

0119 Kisah Pertama - Cerita Sayid Syeikh Hasan Al-Iraqi

Imam as-Suyuti memindahkan kata-kata gurunya, al-Iraqi, bahwa Imam Mahdi dilahirkan pada tahun 255 Hijrah. Imam as-Suyuti berkata bahwa perkara ini telah dipersetujui oleh Syeikh Ali al-Khawas. Imam as-Suyuti berkata lagi bahwa umur Imam Mahdi, sehingga waktu beliau itu, yaitu tahun 958 Hijrah ialah 703 tahun. Kisah yang selengkapnya adalah begini:

Sayid Hasan al-Iraqi telah menceritakan satu kisah kepada Sayid Abul Abbas al-Harisi dengan katanya:

“Aku hendak menceritakan kepadamu satu kisah pada permulaan hidupku sehinggalah waktu ini, seolah-olah engkau adalah sahabatku sejak dari kecil lagi.”

Dia menyambung lagi, “Sebenarnya aku adalah anak muda yang berasal dari Damsyik, bertugas sebagai pengusaha kerjatangan. Pada suatu hari Jumaat, aku bersama-sama kawan-kawanku telah duduk berkumpul dengan tujuan berfoya-foya, bersuka-suka, bergelak ketawa, bermain-main dan menunggang arak. Tiba-tiba datang suatu suara yang berupa satu peringatan daripada Allah SWT, “Apakah untuk ini kau dijadikan?”

“Setelah aku dikejutkan dan sedar, aku terus meninggalkan kawan-kawanku bersama-sama dengan perbuatan mungkar mereka. Aku lari daripada mereka. Rupa-rupanya mereka mengekori aku dari belakang tetapi mereka tidak menjumpai aku. Aku terus masuk ke dalam Masjid Jamik Bani Umaiyah. Aku terkejut apabila aku dapati ada seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi, seolah-olah dia itu adalah Imam Mahdi Alaihis Salam. Datanglah perasaan yang mendalam dalam hatiku untuk bertemu dengannya sehingga aku berdoa di dalam setiap kali sujud sembahyang dengan harapan dapat bertemu dengan lelaki itu.

Pada suatu malam selepas solat maghrib, aku mendirikan solat sunat, tiba-tiba muncul seorang lelaki di belakangku. Dia mengusap bahuku dan berkata, “Wahai anakku, Allah telah mengabulkan doamu terhadap apa yang engkau hajati. Aku adalah Imam Mahdi.”

Lantas aku bertanya, “Apakah tuan sudi pergi ke rumahku (dan tinggal beberapa hari) bersama-sama denganku?”

Dia menjawab, “Baiklah.” Lalu dia mengikuti aku.

Apabila sampai di rumahku, dia berkata, “Kosongkanlah satu tempat yang boleh aku duduk bersendirian.”

Aku pun menunaikan hajatnya. Al-Mahdi duduk bersama-samaku selama tujuh hari tujuh malam. Semasa itu jugalah dia telah membacakan/mengijazahkan kepadaku zikir-zikir.

Dia berkata, “Aku akan ajarkan dan memberitahu kamu wirid-wiridku yang mana hendaklah engkau berkekalan melakukannya. Insya-Allah berpuasalah sehari dan berbukalah pada keesokannya. Lakukanlah solat sebanyak lima ratus rakaat semalaman.”

Aku pun menunaikan suruhannya.

Mulai saat itu, aku pun menunaikan solat sebanyak itu di belakangnya pada tiap-tiap malam. Pada waktu itu, aku masih muda remaja dan sebagai anak muda yang kacak dan bergaya. Selepas itu, al-Mahdi berkata, “Janganlah engkau duduk (bersembahyang dan berzikir) kecuali di belakangku.” Aku pun menurut perintahnya.

Dari situ aku dapat melihat bahwa serbannya adalah serban orang Ajam dan dia mengenakan jubah dari bulu-bulu yang indah.

Setelah tamat tujuh hari, dia pun meninggalkan aku dan aku juga mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Akhir sekali dia berkata kepadaku, “Ya Hasan, tidak pernah berlaku pertemuan seumpama ini di antara aku dengan seseorang kecuali antara aku dengan engkau. Kekalkanlah wirid-wirid itu sehinggalah ke waktu tuamu. Sesungguhnya engkau akan dipanjangkan umur.”

Sekadar itu sahaja perkataan al-Mahdi kepadaku. Sayid Hasan berkata, “Umurku pada waktu itu (sewaktu menceritakan pengalaman ini) adalah 127 tahun.” Sayid Hasan al-Iraqi telah meninggal dunia pada tahun 930 Hijrah (semoga Allah taala merahmati akan rohnya yang mulia itu, amin) seperti yang diriwayatkan orang.

No comments:

Post a Comment