Wednesday 23 February 2011

0114 Ulama Yang Bersikap Pertengahan

Imam al-Qurtubi, seorang tokoh tafsir yang terkenal, menyatakan secara jelas bahwa bersikap tawaquf dalam soal ini adalah jalan yang paling selamat untuk sekalian umat Islam. Beliau yang sudah bertaraf ulama besar itu pun masih amat berhati-hati mengeluarkan pendapatnya. Tidak keluar daripadanya sesuatu hukuman yang muktamad dan pendiriannya yang qat’ie dalam hal ini, walaupun beliau ada menyatakan hadis-hadis mengenai Imam Mahdi di dalam kitab terkenalnya At-Tazkirah. Beliau sebenarnya tidak mau melihat umat Islam terus berbalah dan berpecah hanya semata-mata karena isu Imam Mahdi ini.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami, seorang ulama besar yang terkenal amat mempercayai kemunculan Imam Mahdi, semasa menjawab satu pertanyaan mengenai si fulan yang sudah (benar-benar) 40 tahun mati tetapi dikatakan oleh para pengikutnya bakal muncul sebagai Imam Mahdi suatu masa kelak, cuma mampu menyatakan bahwa,

Ini adalah iktikad yang batil, sesat yang keji dan jahil.”

Maknanya, beliau tidak berani menghukum orang-orang yang mempercayai perkara itu lebih dari itu. Beliau tidak sampai mengatakan orang itu sudah menyeleweng, rusak akidahnya, sudah syirik, sudah murtad atau sebagainya yang boleh membawa maksud keluar dari Islam. Beliau sangat berhati-hati menghukum orang yang salah keyakinan terhadap Imam Mahdi. Maknanya beliau sangat mengambil jalan tengah dalam soal ini, semasa berhadapan dengan orang-orang awam.

Selain itu, disebutkan pula oleh beliau (Imam Ibnu Hajar al-Haitami) sebab-sebab utama beliau mengarang kitab Al-Qaulul Muhyil Mahdiyul Muntazar adalah;

Kawan-kawan seangkatan meminta agar saya menyusun kitab ini, sebab ada kabar yang menyatakan bahwa si fulan, si fulan dan si fulan adalah Imam Mahdi, padahal kawan-kawan saya tadi tidak melihat mereka, kecuali dalam keadaan sesat lagi menyesatkan. Bagaimana mereka tidak sesat lagi menyesatkan? Sedangkan berdasarkan hadis-hadis yang sahih, mereka adalah dusta, bodoh dan diancam neraka.

Nyatalah beliau sendiri pun tidak menghukum mereka dengan suatu hukuman yang pasti dari hukum Islam, sebaliknya hanya menyatakan mereka sebagai sesat, dusta, bodoh dan diancam neraka.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Almarhum Tan Sri Syeikh Mohsin, ketika ditanya tentang persoalan Imam Mahdi, beliau hanya berkata,

Siapa-siapa yang boleh membuktikan sifat tersebut, maka bolehlah diakui dia sebagai Imam Mahadi.” (Dipetik dari majalah Al-Islam, keluaran bulan April, 1981, edisi Jawi, keluaran Kumpulan Utusan Melayu).

Bekas Sahibus Samahah Mufti Kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan, Dato’ Haji Ishak Haji Baharom semasa ditanya oleh para wartawan, menyatakan sebaik-baik sikap umat Islam dalam masalah yang diikhtilafkan oleh ulama seperti konsep al-Mahdi ini adalah:

Tawaqquf, neutral atau berkecuali.

Pusat Penyelidikan Islam sendiri, dalam sebuah buku kecil yang ditulis oleh Wan Alias Wan Abdullah, bertajuk Aliran Syiah, dengan kerjasama Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, yang diterbitkan oleh Bagian Agama, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, dengan tegas dan jelas menyatakan bahwa,

Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat keputusan di dalam hal ini.”


Kebanyakan ulama di Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Asia Selatan dan Asia Tengah pada hari ini juga menetapkan bahwa persoalan Imam Mahdi adalah persoalan IJTIHAD, bukan persoalan AKIDAH. Artinya, segala perbedaan pendapat yang timbul adalah persoalan khilafiah sahaja dan tidak merusakkan akidah seseorang. Ulama yang berpendirian demikian adalah dari golongan ulama yang menerima sistem pendidikan lama, manakala cendekiawan Islam yang menerima sistem pendidikan modern, ada yang menerima dan ramai pula yang menolak.

Oleh karena persoalan ini hanyalah persoalan ijtihad, maka bukanlah termasuk dalam masalah akidah yang diberatkan ke atas semua umat Islam. Persoalan ini insya-Allah tidak akan ditanya kepada kita di dalam kubur, di akhirat kelak dan tidak pula diseksa karenanya, sama ada percaya atau tidak. Tidak diberatkan kepada kita untuk mengetahui dan mendalami soal ini, sama ada sebagai suatu ilmu fardhu ain atau sebagai asas kepercayaan.
Seorang ulama, politikus, wartawan dan pemikir terkemuka Pakistan, Sayyid Abu al-A’ala al-Maududi, mempunyai dua pendapat yang jauh berbeda yaitu pendapat yang menolak kemunculan Imam Mahdi dan pendapat yang bersikap pertengahan. Pendapatnya yang pertengahan adalah seperti berikut::

“Seandainya pengharapan bahwa Islam akan sepenuhnya menguasai jagat raya dalam pemikiran, kebudayaan dan politik benar-benar tercipta, maka kedatangan sang pemimpin besar (al-Mahdi) yang berwibawa melaksanakan revolusi sahabat (Khalafaa al-Rasyidiin) itu, pasti bukan suatu yang mustahil.”

Seterusnya beliau mengecam golongan yang menganggap kedatangan Imam Mahdi sebagai dongeng dengan menyatakan:

“Orang-orang yang kelihatannya tidak bersetuju atas pengharapan seperti ini, menurut akal sihat, adalah lupa daratan. Pemimpin-pemimpin yang rusak seperti Lenin dan Hitler sahaja yang dapat tampil (dan diterima) di panggung sejarah dunia. Lalu apakah alasannya menganggap kehadiran seorang pemimpin kebajikan sebagai sesuatu yang mustahil dan tidak pasti?”

Seorang cendekiawan Islam terkemuka yang juga seorang ahli falsafah, Al-Kindi turut menjelaskan keyakinannya terhadap kedatangan Imam Mahdi pada akhir zaman, dan kedatangannya adalah untuk memperbaharui kemurnian Islam. Menurutnya lagi, Imam Mahdi akan melaksanakan keadilan dan akan menakluk Sepanyol, Rom dan kota Kostantinopel. Seterusnya Imam Mahdi akan memerintah dunia.

Beliau bersikap berhati-hati dengan hanya menerima hadis-hadis yang sudah diiktiraf sebagai hadis sahih sahaja sebagai pegangannya. Ini mungkin disebabkan beliau amat menyedari bahwa beliau bukanlah seorang ulama ahli hadis, yang boleh mengeluarkan sesuatu keputusan yang jitu dalam hal ini. Dan ternyata pula, pendirian beliau ini adalah baik sekali bagi dirinya. Beliau tidak pernah dikomen oleh ulama lain, kecuali oleh Muhammad Abdullah Annan, seorang peguam sivil dan ahli sejarah Mesir. M. A. Enan itu telah mengecam beliau sebagai seorang cendekiawan dan filsuf agung yang fikirannya aneh karena mempercayai kemunculan Imam Mahdi.

No comments:

Post a Comment