Wednesday 23 February 2011

0101 Bagian 1 - Persoalan-persoalan Mengenai Imam Mahdi yang Perlu Diperhatikan

Sebenarnya persoalan Imam Mahdi yang sangat ikhtilaf ini tidak mungkin benar-benar dapat diselesaikan setiap kali isu ini dibangkitkan kembali oleh mana-mana pihak pun. Persoalan ini sebenarnya akan semakin bertambah kusut, panjang dan bersimpang siur setiap kali diungkit, apalah lagi masing-masing mempertahankan pendirian masing-masing dalam keadaan penuh emosi, tanpa hujah yang benar-benar konkrit dan tidak lebih sifatnya daripada zanni.

Ini dengan mudah dapat difahami karena masalah Imam Mahdi tidak ada di dalam al-Quranul Karim. Tidak terdapat walau satu ayat pun yang menceritakan tentang Imam Mahdi. Nama al-Mahdi tidak disebut oleh al-Quran. Sumber yang paling berwibawa yang dapat digunakan oleh pihak pendakwa hanyalah hadis-hadis, sambil disokong oleh ucapan para sahabat dan dibantu lagi oleh ucapan para tabiin dan ditambah lagi oleh ijtihad para ulama muktabar.

Perlu pula diingat, mengalasankan ayat al-Quran sebagai hujah untuk menolak kemunculan Imam Mahdi adalah suatu perbuatan yang agak melampau karena persoalan Imam Mahdi bukanlah suatu perkara pokok dalam akidah, yang perlu merujuk adanya atau tiadanya kepada al-Quran. Mereka seolah-olah sudah tiada alasan lain yang boleh digunakan untuk menegakkan hujahnya dalam menafikan kemunculan Imam Mahdi.

Seolah-olahnya, apabila al-Quran tidak menyebutkan sesuatu perkara itu, maka perkara itu tidak boleh dibangkitkan langsung. Dan sesiapa yang membangkitkannya, maka dia itu bidaah. Andaian seperti ini nyatalah tidak selari dengan roh dan semangat al-Quran itu sendiri. Persoalan Imam Mahdi ini sebenarnya adalah termasuk dalam soal-soal agama Islam juga, walaupun tidak sampai ke taraf akidah. Maka, berpahalalah orang yang membincangkan perkara ini, selagi tidak sampai melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama kita sendiri.

Malah banyak perkara lain dalam syariat dan akidah kita yang tidak pernah disebutkan di dalam al-Quran, tetapi diyakini dan diamalkan oleh seluruh umat Islam karena terdapat sebutannya di dalam satu atau dua buah hadis sahaja. Malah banyak pula perkara yang langsung tidak disebutkan oleh hadis-hadis, tetapi kita umat Islam selalu pula membincangkannya. Dan anehnya, tidak terdengar pula ada orang yang membidaahkannya.

Contohnya, bilangan sembahyang yang lima waktu itu, yang merupakan rukun Islam yang paling utama pun, tidak ada di dalam al-Quran. Jika al-Quran mau dijadikan alasan juga, kita sebenarnya hanya perlu bersembahyang tiga waktu sahaja, dan bukannya lima waktu. Yang lima waktu itu, hanya terdapat di dalam hadis-hadis.

Selain itu, perlu juga dimaklumi, bahwa di dalam al-Quran tidak pernah menyebutkan tentang Dajjal yang akan keluar pada akhir zaman nanti. Begitu juga tentang turunnya Nabi Isa AS ke dunia ini yang akan membunuh Dajjal, tidak pernah disebutkan di dalam al-Quran. Sebenarnya banyak perkara lain yang tidak disentuh oleh al-Quran tetapi tetap merupakan soal dalam agama kita, dan diperbincangkan dengan panjang lebar pula. Maka rasanya, tidak salahlah jika kita membincangkan soal Imam Mahdi ini karena bilangan hadisnya yang sampai kepada kita mencapai jumlah lebih daripada lima puluh buah.

No comments:

Post a Comment